Abang Johari harap Nancy tabah, arwah suami beri semangat perjalanan kerjaya

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri akan terus cekal meneruskan tugasnya dengan menjadikan inspirari arwah suaminya, Datuk Kamil Misuari sebagai pendorong.

Beliau berkata, Nancy akan meneruskan tanggungjawabnya dengan semangat yang ada dan dengan inspirasi daripada arwah suaminya yang meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur, semalam.

“Kita menzahirkan takziah kepada Dato Sri Nancy atas kehilangan suami tersayang,” kata Abang Johari semasa menziarahi jenazah Allahyarham di kediaman Nancy di sini hari ini.

“Kita doakan moga Allahyarham suaminya ditempatkan bersama golongan soleh dan beriman,” katanya sambil menzahirkan rasa simpati dan berharap Nancy terus tabah meneruskan kehidupan.

Mengulas mengenai peranan arwah, Abang Johari berkata suami Nancy merupakan individu yang banyak memberi sokongan dan semangat dalam perjalanan kerjaya politik serta tanggungjawab beliau sebagai pemimpin.