KUCHING: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pasir Pandak kini mempunyai rumah sendiri yang berfungsi sebagai pusat pentadbiran kampung.
Rumah baharu dibina dengan RM150,000 itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi hari ini.
Menurut Dr Abdul Rahman, rumah itu juga berperanan sebagai Pusat Ekonomi Wanita Kampung Pasir Pandak yang bakal menjadi pusat aktiviti masyarakat selain dijadikan pusat koordinasi pembangunan serta kesejahteraan penduduk setempat.
“Rumah JKKK ini juga boleh digunakan untuk meningkatkan sosioekonomi rakyat, sekali gus memudahkan pengurusan hal-hal berkaitan komuniti,” katanya.
Justeru, beliau menggesa pihak JKKK untuk memanfaatkan kemudahan ini bagi pelbagai aktiviti, termasuk program kemasyarakatan, pendidikan dan keusahawanan.
Dengan adanya kemudahan tersebut, peranan JKKK dapat diperkasakan dalam membangunkan Kampung Pasir Pandak dengan lebih tersusun dan efektif.
Majlis perasmian turut dihadiri Pengerusi KMKK Zon Santubong Penghulu Suhaili Bujang, Penghulu Kawasan Salak Wahid dan Ketua Masyarakat Kamoung Pasir Pandak Nazeri Edi.
