Kursus pendedahan AI bagi masyarakat Petra Jaya

KUCHING: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta meningkatkan ilmu dan kemahiran pengunaan Kecerdasan Buatan (AI) kepada masyarakat di kawasan Petra Jaya khususnya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ini kerana masyarakat perlu mengetahui bagaimana teknologi itu boleh disalahgunakan bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa scam atau penipuan atas talian.

“Sebab itulah untuk kawasan Petra Jaya, kita mencadangkan mengadakan kursus (pendedahan AI). Kita akan kerjasama dengan Microsoft,”katanya

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Geran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), masjid dan surau Parlimen Petra Jaya di Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang di sini, hari ini.

Fadillah berkata, golongan sasar mereka bagi kursus terbabit ialah kalangan kepimpinan masyarakat, guru, belia dan sektor perniagaan.

Beliau turut menggesa rakyat di negara ini terutamanya masyarakat Islam memanfaatkan bulan Ramadan sebaik-baiknya untuk menyucikan diri dan minda.

“Ramadan masa terbaik untuk menyucikan diri dan Malaysia ke arah mewujudkan sebuah masyarakat dan negara yang bersih, aman dan makmur,” katanya.

Fadillah turut mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh masyarakat Islam.

“Jadi inilah masa untuk kita menyucikan hati kita, sucikan masyarakat untuk kita jadikan Malaysia ini sebuah negara yang aman, makmur dan harmoni,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan geran tahunan kepada JKKK, masjid dan surau di bawah Parlimen Petra Jaya dengan jumlah keseluruhan bernilai RM591,000 melibatkan 87 JKKK, 30 masjid dan 60 surau.

Setiap JKKK menerima RM3,000 melibatkan jumlah sebanyak RM261,000, manakala sebanyak RM5,000 setiap satu masjid dengan peruntukan berjumlah RM150,000 dan sebanyak RM3,000 kepada setiap surau dengan jumlah RM 180,000.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ADUN Satok Dato Ibrahim Baki.