SIBU: Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga Bazar Ramadan yang tidak menjaga kebersihan dan kualiti makanan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapa’ee menegaskan peniaga harus menjaga kebersihan bagi memastikan keselamatan pengguna sepanjang Ramadan ini.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan makanan dan tindakan tegas boleh diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan.
“Sekiranya pelanggan mendapati makanan tidak berkualiti atau rosak, mereka boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Perbandaran Sibu (MPS) atau pusat khidmat kami untuk tindakan lanjut,” katanya ketika merasmikan Bazar Ramadan Sibu 2025 di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu menambah, sebanyak 110 gerai mula beroperasi dengan menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa.
“Bazar tahun ini mengekalkan konsep sama seperti edisi terdahulu tetapi dengan beberapa penambahbaikan, termasuk ruang lebih luas bagi memastikan keselesaan pengunjung,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Annuar turut menjemput orang ramai menyertai program khas Sungkei Perdana pada 15 Mac ini di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa I.
Ujarnya, program ini bertujuan menggalakkan masyarakat berbuka puasa secara santai dalam suasana berkelah. Kita boleh membeli juadah di bazar dan berbuka puasa bersama-sama.
