SARATOK: Pembinaan Jalan Bajau-Kupang di sini diharap dilaksanakan mengikut tempoh dimeterai dalam kontrak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek itu dijangka siap September 2027.
Katanya, skop projek termasuk menurap jalan kepada piawaian JKR R2 (16.9 kilometer) dan R1 (3.0 kilometer), sistem saliran jalan, lima jambatan dan lain-lain serta telah diserahkan tapak pada 17 Januari lalu.
“Ia akan memudahkan penduduk dari Rumah Rengan Selambong, Rumah David, Rumah Anau, Rumah Ambang, Rumah Rabiah dan beberapa lagi untuk menuju ke Pekan Saratok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diwakili Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad bagi menghadiri upacara miring sempena pembinaan jalan Bajau-Kupang, di sini.
Mohamad Duri juga berterima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kerana penambahan dana projek daripada RM90 juta kepada RM112.9 juta.
