Rumah panjang DUN Kalaka bakal nikmati lampu solar

SARATOK: Penduduk di beberapa rumah panjang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka bakal menikmati kemudahan pencahayaan lebih baik apabila projek pemasangan lampu berkuasa solar dilaksanakan di empat zon utama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek yang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Pelaksanaan projek itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri membangunkan kawasan pedalaman,” katanya selepas majlis ringkas penyerahan tapak projek kepada empat kontraktor yang dilantik di Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka di sini.

Empat zon dikenal pasti untuk fasa pertama ini melibatkan Zon 1 iaitu Sungai Antu, Zon 2, Senyawan dan Entebu, Zon 3 Batu Burak, Sungai Menuak, Sungai Engkabang, Metong dan Sungai Ruan, dan Zon 4 Lubok Nibong, katanya.

Bagi kawasan rumah panjang dan kampung lain di DUN Kalaka, pemasangan lampu solar akan diteruskan secara berperingkat setelah proses lantikan kontraktor siap dilaksanakan oleh Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), katanya.

“Insya-Allah, semua kampung dan rumah panjang di DUN Kalaka akan menikmati kemudahan lampu berkuasa solar dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Turut hadir Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi, Setiausaha Kehormat PBB Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad, wakil Majlis Daerah Saratok, Suriati David Thomas serta kontraktor yang dilantik.