KUCHING: Sarawak bakal memiliki hospital khas bagi rawatan penyakit kanser termasuk kanser payudara apabila projek pembinaannya diluluskan Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pembinaan hospital tersebut menjadi bukti kesungguhan kerajaan negeri memperkukuh sistem rawatan kesihatan dan sokongan kepada pesakit kanser di negeri ini.
“Kerajaan telah meluluskan projek itu, bajet juga sudah tersedia, kini hanya menunggu pelaksanaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pink High Tea anjuran Pink Ribbon Support Group Sarawak di Grand Margherita Hotel, semalam.
Beliau berkata, hospital berkenaan adalah sebahagian daripada National Strategic Plan for Cancer yang digubal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada rawatan dan pengesanan awal yang lebih menyeluruh.
Sharifah Hasidah turut menekankan kepentingan kesedaran awal mengenai kanser payudara, terutama dalam kalangan wanita luar bandar yang masih kurang menjalani pemeriksaan mamogram.
