KUCHING: Switzerland melihat Sarawak sebagai rakan kerjasama strategiknya di Malaysia dalam bidang kelestarian, perdagangan dan keselamatan.
Duta Besar Switzerland ke Malaysia, Chantal Moser menjelaskan, kelestarian merupakan keutamaan dalam hubungan antara Switzerland dan Malaysia selain kerjasama dalam pelaburan serta isu keamanan dan hubungan pelbagai hala.
“Kunjungan ke Sarawak memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai visi negeri ini dan perjalanan Malaysia secara keseluruhan dalam aspek kelestarian,” ujar Chantal.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Tambahnya, lawatan mereka bertujuan meneroka potensi kerjasama yang lebih mendalam antara Switzerland dan Malaysia khususnya Sarawak.
“Sebelum ini, sudah ada beberapa delegasi dari Sarawak yang melawat Switzerland dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Saya kini membina di atas asas tersebut dan meneroka peluang untuk memperkukuh lagi kolaborasi,” tambahnya.
Selepasitu, Abang Johari menerima kunjungan hormat delegasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang diketuai Ketua Pengarah APMM, Laksamana (M) Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Menurut Rosli, APMM akan terus memperkukuhkan kawalan keselamatan perairan Sarawak dengan beberapa projek pembangunan strategik bernilai RM200 juta yang telah diluluskan.
Antara projek utama adalah pembangunan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) yang melibatkan pemasangan radar di tiga lokasi iaitu Canada Hill di Miri, Bukit Nyabau di Bintulu dan Tanjung Datu di Kuching.
