Premier Sarawak dijadual rasmi sambutan Hari Wanita Sarawak, 26 April depan

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Johari Tun Openg bersama Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dijadual merasmikan Sambutan Hari Wanita Sarawak 2025 (HW25) di Hotel UCSI pada 26 April depan.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, sambutan bertemakan ‘Sarawak Women Creating Legacies’ itu bukan sekadar penghormatan kepada pencapaian wanita, tetapi juga satu usaha memperkasa peranan mereka dalam pelbagai bidang.

Katanya, sambutan ini menekankan dua objektif utama iaitu mengiktiraf sumbangan wanita dalam pembangunan keluarga, negeri dan negara serta meraikan pencapaian wanita Sarawak yang telah membawa nama negeri ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Tegasnya, sambutan Hari Wanita Sarawak 2025 bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform penting untuk mengiktiraf, mengangkat dan memperkasa wanita di negeri ini.

“Sambutan ini turut dihadiri barisan pemimpin negeri termasuk Timbalan Premier, Menteri dan Timbalan Menteri, Ahli Parlimen serta pemimpin masyarakat dan organisasi wanita.

“Lebih 700 jemputan hadir secara fizikal, manakala 1,000 penyertaan secara maya melibatkan wanita dari 45 pejabat daerah di seluruh Sarawak,” ujarnya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sambutan Hari Wanita Sarawak 2025 di Hotel UCSI hari ini.

Jelas Fatimah, wanita Sarawak hari ini terus maju sebagai pemimpin, inovator, dan pencetus perubahan dalam masyarakat, hasil sokongan kukuh dari kerajaan negeri.

Menurutnya, tumpuan pada hari tersebut adalah penganugerahan Tokoh Wanita Hari Wanita 2025 kepada individu yang telah mencipta impak besar dalam komuniti.

Antara kategori anugerah yang dipertandingkan ialah Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib, Anugerah Premier Sarawak Kepimpinan Wanita, Anugerah Premier Sarawak Keusahawanan Wanita, Anugerah Premier Sarawak Penggiat Sosial Wanita, Anugerah Premier Sarawak Pencapaian Khas, Anugerah Premier Sarawak NGO Cemerlang, Anugerah Premier Sarawak Pemimpin Muda serta Anugerah Khas Premier Sarawak.

Selain itu, majlis turut menyaksikan pelancaran buku ‘Sarawak Women Creating Legacies’, yang mendokumentasikan kisah kejayaan dan sumbangan wanita Sarawak dalam pelbagai bidang.