Pupuk semangat cintakan Al-Quran

DARO: Seramai 26 peserta menamatkan bacaan Al-Quran dan mendalami ilmu agama di Majlis Khatam Al-Quran anjuran Surau Darul Makmur, Kampung Itol, di sini, semalam.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi yang merasmikan majlis tersebut turut menyampaikan saguhati kepada imam dan peserta.

Ia disusuli berbuka puasa bersama pemimpin dan masyarakat.

Beliau juga meluangkan masa beramah mesra dengan tetamu, mendengar pandangan serta berkongsi aspirasi bersama penduduk Kampung Itol.

Dalam ucapannya, Ahmad Johnie menzahirkan rasa bangga terhadap usaha pihak penganjur dalam memupuk kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat.

“Majlis seperti ini bukan sahaja memberi penghormatan kepada peserta yang berjaya mengkhatamkan Al-Quran, tetapi juga mengukuhkan semangat ukhuwah Islamiah dalam komuniti,” katanya.

Beliau juga menggalakkan masyarakat untuk terus mendidik generasi muda dengan nilai-nilai Islam.