MUKAH: Kontraktor yang bertanggungjawab dalam pembinaan Jambatan Batang Paloh diarahkan untuk melipatgandakan usaha agar projek ini dapat disiapkan mengikut jadual pada Mac tahun depan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan, kontraktor perlu menambah jentera dan peralatan yang diperlukan serta meningkatkan waktu kerja bagi memastikan projek ini tidak terus mengalami kelewatan.
“Saya amat bimbang kerana projek bernilai RM298.4 juta ini telah mengalami kelewatan selama 96 hari.
“Ia merupakan salah satu projek jambatan yang bermasalah dan hampir dikategorikan sebagai projek sakit.
“Apabila projek besar seperti ini tertangguh, rakyat akan meluahkan kekecewaan mereka kepada wakil rakyat dan kerajaan,” katanya selepas mendengar taklimat kemajuan projek yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Ir. Dr. Cassidy Morris serta wakil kontraktor hari ini.
Hadir sama dalam taklimat tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Datuk Abdullah Saidol serta pegawai kerajaan yang lain.
Bagi membantu mempercepatkan pembinaan, JKR katanya akan menyusun semula pelan kerja yang baharu bersama kontraktor agar projek ini dapat disiapkan menjelang Mac 2026.
Setakat ini, jambatan sepanjang 1.7 kilometer (km) dengan jalan raya sejauh 4.6 km telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 75.25 peratus berbanding jadual yang sepatutnya 84.63 peratus.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menambah akan melakukan lawatan ke tapak pembinaan pada Julai tahun ini bagi memantau perkembangan kerja ini.
