KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan mengambil langkah sewajarnya untuk menangani isu-isu yang dihadapi industri perumahan dan hartanah hari ini.
Jaminan itu disuarakannya kepada Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) setelah mengambil maklum tentang isu-isu yang dihadapi oleh pemain industri terutama isu Ganti Rugi Ditentukan (LAD).
Menurut Naib Presiden SHEDA Louis Ting, LAD merupakan antara perkara yang menjadi tumpuan perbincangan SHEDA dengan Premier Sarawak.
“LAD merupakan penalti kewangan yang dikenakan kepada pemaju sekiranya mereka gagal menyiapkan projek perumahan dalam tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli.
”Malah LAD merupakan satu klausa untuk melindungi pembeli hartanah dan memberikan pampasan kepada pembeli kerana kelewatan penyerahan rumah yang boleh mengakibatkan beban kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai delegasi SHEDA mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Hadir sama dalam kunjungan hormat itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian.
