Kuching Kerajaan Sarawak memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran padi melalui penggunaan teknologi, pengurusan tanah dan penglibatan sektor swasta.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perubahan iklim dan ketidakpastian bekalan makanan menjadikan pengeluaran beras tempatan semakin penting.
“Malaysia perlu berdikari dalam pengeluaran beras dan Sarawak mahu menyumbang kepada usaha mencapai tahap sara diri beras negara,” katanya semasa berucap sempena Persidangan Padi Sarawak Ke-2, SARICON II 2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah infrastruktur, jaringan, teknologi dan sumber manusia bagi menyokong pengeluaran padi.
Katanya, Sarawak mempunyai kira-kira 14,000 hektar tanah untuk pengeluaran padi termasuk sekitar 7,000 hektar tanah tetap yang membentuk separuh daripada jumlah berkenaan.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut menjalankan penyelidikan bersama Universiti Yunnan di China berkaitan penggunaan tanah merah yang dilihat berpotensi untuk menyokong pengeluaran padi.
“Kita perlu meneroka teknologi bagaimana mengurus tanah dan air selain menggunakan teknologi bagi memantau pertumbuhan tanaman serta mengesan masalah di ladang,” tambahnya.
Katanya, kerajaan turut mengarahkan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak CENTEX) dan Jabatan Pertanian bekerjasama dengan Huawei dalam pengurusan ladang berasaskan teknologi, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM1 bilion bagi pembangunan sistem pengairan untuk kawasan penanaman padi, selain membuka ruang kepada sektor swasta untuk melabur dalam pengeluaran padi.
Tambahnya, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembentukan petani moden yang dilengkapi kemahiran teknologi menerusi peluang pendidikan dalam bidang pertanian, sains pertanian dan sains hayat.
Beliau berharap Persidangan Padi Sarawak Ke-2 (SARICON II) 2026 dapat menghasilkan input baharu berkaitan pengeluaran padi dan pengurusan moden bagi meningkatkan hasil setiap hektar.
— AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI
