Sikap saling jaga antara agama, kekalkan keharmonian jadi kekuatan Sarawak

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis keluaran dalam negeri kasar (KDNK) akan berkembang daripada RM140 bilion kepada RM282 bilion menjelang 2030.

Menurut Abang Johari, matlamat itu dapat direalisasikan dengan adanya program pemangkin dan ekonomi yang pelbagai di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“Walaupun Krismas, seperti yang saya ketahui, ia adalah tentang harapan dan ini merupakan harapan peribadi saya untuk masa depan Sarawak untuk semua dan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sambutan Hari Krismas 2023, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sikap saling menjaga antara agama akan terus menjadi kekuatan Sarawak dalam mengekalkan keharmonian di negeri ini.

Selain itu, katanya beberapa pemimpin bukan Islam juga telah menunjukkan sikap yang sama dengan keperluan umat Islam di mana mereka adalah minoriti.

“Ini terutamanya dicontohi oleh sikap budi pekerti wakil rakyat di Belaga yang sangat baik hati membantu masyarakat Islam di sana untuk membina masjid di kawasan hulu,” tambahnya.