SOPMA: Sarawak umum insentif khas atlet menang – Premier

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengumumkan pemberian insentif khas kepada atlet yang meraih kejayaan dalam Temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) tahun ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan tersebut sebagai usaha menghargai pencapaian atlet dan pada masa sama memberi motivasi kepada mereka agar terus cemerlang dalam bidang sukan.

“Saya tadi bertanya dengan Dato Sri Fatimah dan Presiden juga bercakap dengan saya berhubung insentif untuk mereka yang menang dalam SOPMA.

“Justeru, Sarawak akan memberi insentif untuk mereka yang menjadi jaguh dalam sukan dipertandingkan. Yang lain, saya serah kepada beliau (Dato Sri Fatimah). Saya hanya memberi peruntukan khas untuk insentif mulai tahun ini.

“Insentif ini sebagai semangat kepada atlet yang bertanding dalam SOPMA,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pembukaan SOPMA XXII 2025 di Hikmah Exchange & Event Centre (HECC) di sini, malam tadi.

Menjelas lanjut, ketika ditemui media selepas majlis, Premier Sarawak berkata pemberian insentif ini selaras dengan langkah beberapa negeri lain yang telah melaksanakannya.

“Oleh kerana ada negeri yang sudah memberi insentif, jadi kita pun memberi juga,” tambah Premier.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah.