Jerayawara Sarawak Lestari tingkatkan pemahaman masyarakat terhadap SDG

DARO: Program Jerayawara Sarawak Lestari anjuran Pustaka Negeri Sarawak, Sibu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Dr. Safiee Ahmad di Dewan Masyarakat Daro, hari ini.

Program selama dua hari bermula 27 September itu bertujuan meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya berkaitan tindakan iklim, air bersih, penggunaan bertanggungjawab dan pemeliharaan kehidupan di darat.

Dr. Safiee dalam ucapannya berkata, inisiatif tersebut selari dengan usaha kerajaan negeri memperkukuh agenda kelestarian melalui rangka kerja Sarawak Lestari dengan penglibatan inklusif masyarakat.

Beliau turut menegaskan kepentingan pendidikan alam sekitar serta tanggungjawab bersama dalam menjayakan agenda pembangunan mampan yang memberi impak di peringkat global.

Sepanjang jerayawara, masyarakat turut menyertai pelbagai aktiviti termasuk ceramah, bengkel, kempen kitar semula, kempen derma darah, pertandingan fesyen 3R serta pameran oleh pelbagai agensi.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Eksekutif (Perkhidmatan ) Pustaka Negeri Sarawak, Salina Zawawi, Wakil Setiausaha Majlis Daerah Matu dan Daro, Mohd Azrail Mohd Hafiz Fadhullah, Pemanca Lau Oi Phen, Penghulu Jebli Ngok dan Penghulu Abu Bakar Salleh.