SAMARAHAN: Sebuah projek berimpak tinggi di bawah inisiatif UniMADANI dilaksanakan di Kampung Baru Samarahan, di sini.
Projek tersebut bagi memperkasakan komuniti luar bandar melalui pendekatan inovasi hijau, pemindahan ilmu dan pembangunan mampan.
Program UniMADANI ini digerakkan oleh universiti awam seluruh Malaysia dengan sokongan penuh Kementerian Kewangan.
Projek bertajuk Waste to Wealth: Empowering Communities Through Green Innovation of Marketable Aesthetic Candles and Botanical Detergents diketuai Prof. Dr. Zainab Ngaini dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Projek ini memanfaatkan bahan buangan seperti minyak masak terpakai untuk menghasilkan lilin estetik dan sabun botani yang berpotensi dipasarkan secara meluas.
Turut terlibat dalam pembangunan produk ini ialah Dr. Vanessa Lawai dan Ummu Aqilah Makshut yang berperanan sebagai jurulatih dalam penghasilan lilin dan sabun daripada minyak terpakai.
Pendekatan ini membuka peluang ekonomi kepada komuniti sambil menyokong kelestarian alam sekitar.
Hari ini, satu bengkel bertajuk Product Branding and Packaging diadakan dan dikendalikan seorang tenaga pakar dalam projek ini, Azlandy Mohammid Ali Tuah.
Bengkel tersebut memberi penekanan kepada aspek penjenamaan dan pembungkusan produk bagi meningkatkan daya tarikan pasaran serta nilai komersial.
Para peserta juga didedahkan kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan platform media sosial sebagai strategi pemasaran moden untuk memperluas capaian pasaran.
Inisiatif ini selari dengan matlamat UniMADANI untuk menyumbang ilmu, kepakaran dan khidmat kepada komuniti luar bandar melalui inovasi sosial dan pembangunan mampan.
Projek ini bukan sahaja memperkasakan ekonomi komuniti setempat, malah menyokong agenda kelestarian negara dengan menggalakkan penggunaan semula bahan buangan secara kreatif dan berinovasi.
