Taman Rimba Sebangkoi berpotensi destinasi pelancongan baharu

SIBU: Taman Rimba Sebangkoi berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan baharu di bawah jajaran Lebuhraya Pan Borneo (LPB) susulan penemuan pelbagai spesies flora dan fauna unik hasil ekspedisi Jabatan Hutan Sarawak (JHS) baru-baru ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, penemuan itu membuktikan kekayaan biodiversiti Sebangkoi yang bernilai tinggi serta penting bagi pembangunan lestari negeri.

“Ekspedisi tersebut membuka peluang untuk menjadikan Sebangkoi sebagai pusat pembelajaran alam semula jadi dan destinasi ekopelancongan berasaskan hutan,” katanya ketika merasmikan Seminar Ekspedisi Sebangkoi 2025 di RH Hotel, semalam.

Menurutnya, JHS telah mencadangkan agar kawasan itu diwartakan sebagai Hutan Rekreasi atau Hutan Simpan Semula Jadi bagi memastikan pengurusan dan pembangunan dilaksanakan secara tersusun.

Len Talif yakin, dengan pelaksanaan bersepadu, Taman Rimba Sebangkoi mampu menjadi tarikan pelancongan hijau utama di Sarawak dalam tempoh beberapa tahun akan datang.