KUCHING: Penggunaan data, analitik dan teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadi pemacu utama dalam pembangunan ekonomi digital Sarawak.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak berpotensi muncul sebagai hab inovasi serantau sekiranya teknologi moden dimanfaatkan sepenuhnya oleh sektor industri dan penyelidikan tempatan.
“Apabila kita mahu bergerak ke hadapan dalam ekonomi moden, kita tidak boleh lagi bergantung kepada kaedah konvensional.
“Penggunaan teknologi seperti AI dan sistem penyimpanan data baharu amat penting untuk memastikan daya saing negeri terus kekal,” katanya pada Majlis Pelancaran Prospectus Insights Analytics Berhad (IAB) di Hikmah Exchange di sini, hari ini.
Menurut Premier, Sarawak kini terlibat dalam pembangunan teknologi ‘analog storage’ yang digunakan dalam industri automasi dan perubatan melalui kerjasama penyelidikan dengan General Electric (GE) serta rakan antarabangsa lain.
Katanya, usaha berterusan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pelaburan dalam teknologi akan memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju ekonomi digital berasaskan inovasi dan pengetahuan.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan ekonomi digital perlu disokong oleh modal insan berpengetahuan tinggi dan berkemahiran dalam teknologi bagi memastikan Sarawak bersedia menghadapi cabaran masa depan.
