Usaha tarik golongan muda imarahkan masjid, surau

KUCHING: Kawasan Parlimen Petra Jaya memperuntukkan geran sejumlah RM325,000 untuk diagihkan kepada masjid dan surau di kawasan tersebut.

Ia membabitkan 89 penerima masjid dan surau di kawasan parlimen berkenaan termasuk di bawah pengurusan agensi kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, pengagihan geran itu merupakan program tahunan parlimen berkenaan menjelang Ramadan untuk membantu masjid dan surau melaksanakan aktiviti mengimarahkan institusi keagamaan.

“Dengan adanya geran ini, ia dapat membantu pengurusan masjid dan surau menganjurkan program atau aktiviti untuk merapatkan ukhuwah sesama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Geran Masjid Surau Kawasan Parlimen P194 Bagi Tahun 2024 di Masjid Darulhana, Kampung No.6 di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Politik Premier Sarawak mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Samad Gany, Pengerusi Masjid Darulhana Patingan, Zamhari Hashim dan pemimpin masyarakat di kawasan parlimen berkenaan.

Fadillah menambahkata, dalam mengimarahkan masjid, usaha menarik lebih ramai jemaah datang ke masjid terutama golongan muda diberi tumpuan.

Sehubungan itu katanya, pengurusan masjid dan surau perlu mencari kaedah sesuai bagi menarik anak-anak muda dan ini bergantung kepada kreativiti mereka.

Menurutnya, rumah keagamaan ini bukan sahaja bagi menunaikan solat malah sebagai pusat informasi ilmu untuk kebaikan masyarakat Islam dan bukan Islam agar fahaman agama dapat diperluaskan.

Pada masa sama katanya, usaha itu bukan sahaja mengekalkan keharmonian dan perpaduan etnik tetapi persefahaman antara agama.