TANJUNG MANIS: Loji Bekalan Air Tanjung Manis yang baharu akan membekalkan sumber air bersih mencukupi bagi penduduk sekitar kawasan itu.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, sumber air bersih dari Sarikei telah disalurkan ke Tanjung Manis sejak 1990-an dengan kapasiti terhad.
“Loji Bekalan Air Tanjung Manis ini merupakan sumber bekalan air yang kedua bagi Tanjung Manis serta sangat penting dan bermanfaat dalam memastikan kelangsungan hidup penduduk sekitar kawasan ini agar terus terjamin.
“Selain itu, sumber air dari Sibu ini juga akan disalurkan ke kawasan Pulau Bruit dalam masa terdekat dan turut membekal air mentah ke kawasan Tanjung Manis bagi tujuan pertanian dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Perasmian Bekalan Air Tanjung Manis yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Loji Bekalan Air Tanjung Manis, hari ini.
