KUCHING: Kes keganasan rumah tangga berdasarkan statistik polis di seluruh negara pada 2023 ialah sebanyak 5,507 kes.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, terdapat sedikit penurunan berbanding sebanyak 6,540 kes sama dilaporkan 2022.
Beliau berkata, Sarawak merupakan negeri ketiga tertinggi mencatatkan kes tersebut selepas Selangor dan Kedah dengan jumlah kes itu dari 2020 hingga 2023 ialah sebanyak 2,345 kes.
“Bagi tahun 2023, kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan di negeri Sarawak adalah 473 kes berbanding 624 kes pada 2022,” katanya ketika Program Semarak Skuad Waja Negeri Sarawak 2024 di sini hari ini.
Nancy berkata, penubuhan Skuad Waja merupakan langkah positif ke arah membangunkan kolaborasi yang baik antara kerajaan dan masyarakat untuk mengatasi isu keganasan terhadap wanita.
“Sejak penubuhan Skuad Waja pada 2021 hingga Disember 2023, terdapat seramai 329,221 ahli
termasuk 254,506 wanita (77.3%) dan 74,715 lelaki (22.7%),” katanya.
Beliau berkata, bagi Sarawak sahaja, terdapat seramai 2,919 ahli Skuad Waja yang melibatkan seramai 2,807 wanita dan 112 lelaki.
