KUCHING: Sebanyak 12,000 bungkusan makanan akan diagihkan kepada petugas penguatkuasaan dan keselamatan bagi meraikan sambutan perayaan utama di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita,
Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, penyediaan itu dilakukan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) untuk
program sumbangsih tahun ini kepada 11 jabatan, agensi penguatkuasaan dan keselamatan.
“Penerima terdiri daripada petugas menjaga keselamatan, keamanan dan ketenteraman Sarawak semasa sambutan tiga perayaan utama di Sarawak iaitu Tahun Baharu Cina, Hari Raya dan Gawai Dayak,” katanya selepas merasmikan Program Pembungkusan Sumbangan Perayaan 2026 di Wisma Wanita, di sini, hari ini.
Menurut beliau, memandangkan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak itu agak dekat, maka kementerian membuat keputusan untuk melaksanakan program pembungkusan sekali gus.
Sebelum ini, Program Sumbangsih dibuat pada Hari Raya sahaja namun untuk tahun ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan agar ia dibuat untuk tiga perayaan utama Sarawak.
Tambah Fatimah, ia menunjukkan dasar keterangkuman yang ditekankan oleh kerajaan negeri Sarawak yang diterajui Premier Sarawak.
Simbolik penyerahan Sumbangsih Perayaan akan disempurnakan Premier Sarawak pada 13 Februari ini di Kompleks Satria Pertiwi.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri dan Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Salmah Jobeli, serta Setiausaha Tetap KPWK Nur Alina Abdullah.
