LUNDU: Sebanyak 504 projek di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Wilayah (GKCDA) di kawasan Kuching dijangka siap menjelang 2029.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 218 projek di Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar dan DUN Tanjong Datu.
“Sebanyak 180 projek diluluskan bagi kawasan DUN 1(Opar) manakala DUN N3 (Tanjong Datu) melibatkan 38 projek,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja ke projek terbabit bersama Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Tanjong Datu, Dato Azizul Annuar Adenan dan ADUN Opar, Billy Sujang, di sini, semalam.
Menurut Abdul Rahman, pelaksanaan projek ini penting dalam memperkukuh jaringan perhubungan serta memastikan pembangunan luar bandar terus diperkasa.
Terdahulu, beliau meninjau projek infrastruktur di DUN Tanjong Datu termasuk pemasangan lampu jalan di kawasan pesisir pantai, menaik taraf Town Square Lundu, pembinaan dua dewan serbaguna di Kampung Sembawang dan Kampung Pasir Tengah serta pembinaan jambatan baharu di Kampung Sebako 2.
