27 jambatan ditender, Sarawak perkukuh infrastruktur luar bandar

KUCHING: Sebanyak 27 projek pembinaan jambatan di Sarawak telah ditender manakala lima lagi dalam pembinaan setakat ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia adalah sebahagian usaha kerajaan negeri memperkukuh jaringan infrastruktur luar bandar melalui Program Transformasi Jambatan Luar Bandar (PTJLB).

“Projek-projek ini melibatkan beberapa kawasan utama termasuk Kuching, Serian, Kapit, Miri, Sibu dan Sarikei, yang bertujuan meningkatkan keselamatan dan memudahkan perjalanan harian masyarakat luar bandar,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Uggah merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, pembinaan jambatan baharu dan penggantian jambatan lama yang uzur adalah langkah penting untuk memastikan keselamatan penduduk, selain menyokong pertumbuhan sosioekonomi setempat.

“Usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan asas yang lebih moden dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau menambah, PTJLB selaras Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan pembangunan mampan dan inklusif, khususnya di kawasan pedalaman Sarawak.

Program ini juga katanya, memudahkan pergerakan barangan dan hasil pertanian ke pusat bandar, membuka peluang baharu dalam sektor ekonomi desa.