KUCHING: Bangunan baharu Majlis Dakwah Islam Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) di Jalan Budaya dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2026.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kerajaan negeri menyediakan bangunan lama berusia lebih 90 tahun yang kini dalam peringkat akhir pengubahsuaian sebagai ibu pejabat RISEAP di Sarawak.
“Bangunan itu akan menempatkan semua aktiviti RISEAP termasuk mesyuarat serantau, latihan dakwah, program belia, kerjasama akademik serta perhubungan antarabangsa. Ia turut menampilkan 24 tiang bendera mewakili negara anggota RISEAP dari Asia Tenggara, Asia Timur, Asia Selatan dan Pasifik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif RISEAP Ke-36 di Korea, semalam.
Dr Abdul Rahman yang baharu dilantik sebagai Timbalan Presiden RISEAP menyatakan komitmennya membantu Presiden RISEAP dan barisan exco dalam memperkukuh pembangunan umat Islam di rantau Asia Pasifik.
Pelantikan beliau berkuat kuasa sehingga Mesyuarat Agung RISEAP pertengahan 2026, susulan peletakan jawatan timbalan presiden terdahulu dari Singapura.
