KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak dengan kerjasama Akademix Sdn. Bhd. dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menganjurkan program ‘Jom Nambah Ilmu’ yang berkonsepkan STEM dan inovasi di Pusat Sumber Tun Openg di sini.
Program itu merupakan sebahagian daripada usaha menggalakkan pelajar menaruh minat dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui sesi libat urus dan aktiviti berkonsepkan permainan.
Seramai 28 murid dari Tabika KEMAS Muda Hashim dan lima pelajar dari Manhad Tahfiz Husnal Khotimah menyertai program berkenaan yang berkonsepkan pembelajaran dengan mewujud perasaan ingin tahu, penyelesaian masalah dan berkerja dalam pasukan.
Selain itu program berkenaan juga menggalakkan budaya pembelajaran berterusan serta peluang kepada para peserta untuk menambah ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi STEM melalui perkongsian interaktif dan santai.
Tiga aktiviti utama dalam program itu ialah ‘Cubico Coding Game, Morphun Building Blocks, and Straw Constructor’.
Program yang diadakan 10 November lalu itu mengeratkan kerjasama antara Pustaka Negeri Sarawak, Akademx Sdn Bhd dan DBKU untuk berkongsi ilmu bagi menyokong pembelajaran berinovasi dan peluang belajar sepanjang hayat.
Pihak penganjur mengucapkan terima kepada Tabika KEMAS Muda Hashim dan Manhad Tahfiz Husnul Khotimah atas kerjasama mereka menjayakan program berkenaan. Inisiatif serupa akan terus diadakan untuk menggalak budaya kreativiti dan meningkatkan ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar muda melalui aktiviti berasaskan STEM.
