57,211 penerima bantuan perlukan sokongan tenaga kerja JKM

KUCHING: Seramai 57,211 penerima bantuan bulanan di Sarawak memerlukan sokongan tenaga kerja tambahan bagi memastikan urusan kebajikan dapat dikendalikan dengan berkesan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, jumlah itu merangkumi penerima bantuan kanak-kanak, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), OKU tidak bekerja dan pesakit terlantar.

Katanya, kerajaan negeri meluluskan pelanjutan pengambilan 100 petugas kebajikan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak untuk tempoh dua tahun bagi memperkukuh keupayaan jabatan mengurus pelbagai urusan kebajikan rakyat.

“Pelanjutan ini amat diperlukan kerana JKM mempunyai tanggungjawab dalam mengurus penerima bantuan bulanan, selain kes musibah dan bencana serta pelbagai program jangkauan komuniti,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Ribut Kuching 2026 di Wisma Kebajikan, JKM Sarawak, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, 100 petugas terbabit terdiri daripada 50 masing-masing berkelulusan ijazah dan lulusan diploma, dengan tempoh perkhidmatan sedia ada akan berakhir pada 31 Disember 2026.

Menurutnya, petugas berkenaan bukan sahaja membantu pengurusan bencana, malah akan digerakkan dalam program turun padang termasuk mengurus bantuan kepada pesakit buah pinggang, bantuan rawatan kesihatan serta urusan penerima bantuan bulanan.