TEBEDU: Sebanyak 68 projek rumah ibadat dilaksanakan menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu.
Projek keseluruhan itu bernilai RM10.14 juta memberi manfaat kepada komuniti pelbagai agama.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata peruntukan itu membuktikan komitmen kerajaan memastikan keperluan semua masyarakat tanpa mengira agama dan latar belakang terus diberi perhatian.
Bantuan UNIFOR merangkumi pembinaan, pembaikan, penaiktarafan dan penyediaan kelengkapan rumah ibadat bagi mewujudkan persekitaran lebih selesa untuk aktiviti keagamaan.
“Melalui UNIFOR, kita mahu memastikan komuniti pelbagai agama turut mendapat manfaat daripada pembangunan negeri,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Sempena Perasmian Projek di Dewan Serbaguna Kampung Temong Mawang, semalam.
Kerajaan Sarawak katanya, turut memperuntukkan RM565 juta bagi tempoh 2017 hingga 2026 untuk rumah ibadat agama-agama lain di seluruh negeri.
“Selain itu, perhatian turut diberikan kepada pendidikan menerusi RM120 juta untuk sekolah mubaligh bagi tempoh 2021 hingga 2026, termasuk menaik taraf bangunan dan meningkatkan prestasi murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.
Di DUN Tebedu, 23 projek sekolah mubaligh diluluskan bagi tempoh 2021 hingga Fasa 1 2026 dengan jumlah RM2.65 juta, katanya.
Uggah berkata, bantuan itu penting bagi memastikan sekolah mubaligh mempunyai kemudahan pembelajaran lebih baik dan memenuhi keperluan pendidikan semasa.
Beliau menegaskan pendekatan pembangunan inklusif kerajaan bukan sahaja menumpu pada fizikal, malah merangkumi keperluan keagamaan dan pendidikan masyarakat.
