Tujuh kampung DUN Tebedu bakal nikmati kemudahan jalan

TEBEDU: Lebih 3,000 penduduk daripada tujuh kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu bakal menikmati kemudahan perhubungan lebih baik menerusi pelaksanaan Projek Pembinaan Jalan Temong, Tepoi dan Sadir bernilai RM48.19 juta.

Projek fasa kedua itu bukan sekadar menyediakan jaringan jalan raya lebih sempurna, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan aktiviti ekonomi serta kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembangunan infrastruktur jalan raya terus menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan menikmati kemudahan asas berkualiti.

Menurutnya, projek berkenaan merangkumi pembinaan jalan utama sepanjang 6.7 kilometer (km) mengikut piawaian JKR R3 serta enam cabang jalan sepanjang keseluruhan 0.73 km mengikut piawaian JKR R2.

Jaringan jalan itu akan menghubungkan Kampung Temong, Kampung Mura, Kampung Putah, Kampung Temong Bengan, Kampung Darul Fallah, Kampung Darul Huda dan Kampung Tepoi.

“Pembangunan infrastruktur perlu terus diperluas supaya penduduk luar bandar mendapat kemudahan perhubungan yang lebih baik.

“Ini penting untuk memudahkan pergerakan masyarakat serta menyokong kegiatan ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Sempena Perasmian Projek berkenaan di Dewan Serbaguna Kampung Temong Mawang, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Uggah mendedahkan sebanyak 34 projek Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang dan akan dilaksanakan di kawasan DUN Tebedu dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.263 bilion.

Daripada jumlah itu, enam projek telah siap, 12 sedang dilaksanakan manakala 16 lagi berada pada peringkat prakontrak.

Pelaksanaan projek bernilai besar itu memperlihatkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh infrastruktur luar bandar, sekali gus memastikan pembangunan dapat dinikmati lebih ramai penduduk di kawasan Tebedu.