KUCHING: Pembentukan keluarga bahagia, berilmu dan berakhlak mulia menjadi asas penting dalam melahirkan masyarakat sejahtera, sekali gus menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, institusi keluarga memainkan peranan utama dalam membentuk generasi yang berdisiplin, berintegriti dan bertanggungjawab.
Menurutnya, nilai kasih sayang, kesabaran, persefahaman dan sikap saling menghormati perlu dipupuk dalam kehidupan berumah tangga bagi memastikan keharmonian keluarga terus terpelihara.
“Keluarga yang bahagia akan membentuk masyarakat yang bahagia, seterusnya melahirkan negeri yang maju dan makmur.
“Sekiranya kita mahu mencapai Sarawak yang maju dan makmur, asas utamanya mestilah bermula daripada keluarga yang sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Program Keluarga Sakinah Pemangkin Sarawak Makmur 2026 (MEKAR 2026) anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), di Wisma Melayu Sarawak, di sini, hari ini.
Turut hadir, isteri Dr. Abdul Rahman, Datin
Siti Shorgayah Ahmad Zaidin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak,
Datu Mual Suaud bersama isteri, Datin Habsah Drahman.
Abdul Rahman berkata, kesejahteraan keluarga turut mempunyai hubungan rapat dengan tiga teras Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Tiga teras tersebut merangkumi kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,ujarnya
Jelasnya, pembentukan insan yang berilmu, berdisiplin dan amanah bermula daripada didikan ibu bapa di rumah sebelum nilai tersebut diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan pasangan suami isteri mengamalkan kesabaran, berkongsi tanggungjawab serta memahami keperluan masing-masing bagi mengukuhkan hubungan kekeluargaan.
“Ibu bapa juga perlu memahami perbezaan personaliti dan perkembangan psikologi setiap anak.
“Inj demi memastikan supaya pendekatan pendidikan serta asuhan dapat disesuaikan mengikut keperluan mereka,”jelasnya.
Mengulas penganjuran MEKAR 2026, beliau menyambut baik cadangan supaya program berkenaan diperluaskan ke bahagian lain di Sarawak bagi membolehkan lebih ramai keluarga Islam mendapat manfaat daripada perkongsian ilmu.
Justeru, beliau berharap generasi muda, khususnya pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, diberi lebih banyak pendedahan mengenai tanggungjawab suami isteri, pengurusan keluarga dan pembentukan rumah tangga yang harmoni.
Menurutnya, usaha memperkukuh institusi keluarga perlu menjadi tanggungjawab bersama kerana keluarga yang sejahtera merupakan asas kepada pembentukan masyarakat dan negeri yang makmur.-NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
