Program SKS Serian sediakan pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak

SERIAN: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Serian akan berlangsung di Serian Conference Centre, di sini, pada 20 dan 21 November ini.

Majlis perasmian akan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Khemah Utama, Serian Conference Centre jam 10.30 pagi.

Program anjuran Kerajaan Sarawak ini menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun dan rakan strategik di bawah satu bumbung.

“Orang ramai, khususnya penduduk Bahagian Serian dan kawasan sekitarnya, dijemput hadir bagi memanfaatkan pelbagai perkhidmatan, maklumat serta peluang yang disediakan sepanjang program berlangsung,” menurut kenyataan program itu hari ini.

Pengunjung boleh mengunjungi pelbagai pameran dan kaunter perkhidmatan yang menyediakan penerangan mengenai dasar, program serta inisiatif pembangunan Kerajaan Sarawak.

Antara fokus utama program ialah kaunter pertanyaan Inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 dan orang ramai boleh mendapatkan penjelasan lanjut mengenai syarat kelayakan, kadar bantuan serta kaedah penyaluran bantuan secara digital melalui platform SPay Global.

Pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), termasuk institusi yang terlibat, bidang pengajian yang ditawarkan serta syarat kelayakan.

“Bagi golongan belia dan pencari kerja pula, JobSarawak akan menyediakan
maklumat berkaitan peluang pekerjaan, pembangunan kerjaya serta padanan
pekerjaan yang ditawarkan oleh majikan yang mengambil bahagian,” tambahnya.

Selain itu, program ini menyediakan saringan kesihatan, saringan kecergasan dan pameran kesihatan serta pelbagai aktiviti menarik termasuk sukaneka rakyat, Konsert Rakyat dan e- Peraduan yang menawarkan hadiah menarik.