Sarawak perlu kewangan kukuh teruskan subsidi, pembangunan

KUCHING: Sarawak memerlukan kedudukan kewangan kukuh bagi memastikan kerajaan negeri mampu meneruskan pelbagai inisiatif pembangunan, subsidi dan bantuan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kemampuan kewangan kerajaan amat penting bagi menampung pelbagai perbelanjaan termasuk sektor kesihatan, pendidikan, bekalan elektrik, air dan perumahan.

“Pelbagai kemudahan serta bantuan yang dinikmati rakyat ketika ini memerlukan peruntukan besar dan komitmen berterusan daripada kerajaan.

“Antara manfaat yang diberikan termasuk subsidi elektrik sebanyak 25 peratus yang membantu mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah, sekali gus memberikan penjimatan kepada pengguna di Sarawak,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Anugerah MPLGH 2026 di Hotel Pullman di sini, hari ini.

Ujarnya, berdasarkan perbandingan yang diberikan, pengguna yang membayar bil elektrik RM1,000 berpotensi menikmati penjimatan sehingga RM9,000 setahun apabila mengambil kira perbezaan kadar elektrik dan subsidi berkenaan.

Dalam pada itu beliau turut berkata, kerajaan turut melaksanakan langkah meningkatkan hasil melalui penambahbaikan kutipan penilaian serta bayaran berkaitan penggunaan tanah dan kemudahan tertentu bagi memastikan sumber kewangan negeri terus mampan.

Menurutnya, penyediaan kemudahan awam bukan sahaja melibatkan kos pembinaan, malah memerlukan perbelanjaan operasi dan penyelenggaraan yang tinggi, termasuk kos operasi pasar yang dianggarkan hampir RM1.5 juta setahun.

Mengulas lanjut mengenai sektor kesihatan, beliau berkata, kekurangan doktor dan jururawat merupakan antara cabaran utama yang perlu diberikan perhatian.

Ini kerana katanya, pembangunan hospital serta penyediaan peralatan moden tidak mencukupi tanpa tenaga kerja profesional yang mampu mengendalikan kemudahan berkenaan.

Justeru, beliau menegaskan keperluan Sarawak diberikan kuasa lebih besar untuk menguruskan pengambilan dan keperluan doktor serta jururawat bagi memastikan perkhidmatan kesihatan awam dapat diperkukuhkan dan memenuhi keperluan rakyat.

Jelasnya lagi, semua usaha berkenaan memerlukan perancangan kewangan mampan supaya kerajaan negeri dapat meneruskan pemberian subsidi untuk kesejahteraan rakyat.