Peruntukan RM5 bilion laksana 35 projek di Sarawak

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 35 daripada keseluruhan 99 projek pembangunan fizikal Persekutuan di Sarawak kini sedang dalam pembinaan membabitkan kos berjumlah RM5 bilion.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, keseluruhan 99 projek berkenaan melibatkan nilai pembangunan kira-kira RM12 bilion, dengan pelaksanaan projek dibahagikan antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sarawak mengikut nilai kontrak.

“Keseluruhan kita ada 99 projek di Sarawak. Daripada jumlah itu, 35 projek sedang dalam pembinaan dengan kos RM5 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Pelbagai Kelas Kem Muara Tuang di sini, hari ini.

Menurut beliau, projek bernilai RM50 juta dan ke bawah telah diserahkan kepada JKR Sarawak untuk dilaksanakan, manakala projek berskala lebih besar dikendalikan JKR Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, projek RKAT Kem Muara Tuang bernilai RM119.1 juta yang dibangunkan di kawasan seluas 28.3 hektar itu telah siap dan memperoleh Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), 2 Oktober 2026.

Projek berkenaan menyediakan 190 unit kediaman pelbagai kelas, selain dilengkapi kemudahan surau, tadika, taska, rumah sampah serta rumah pam bagi memenuhi keperluan harian penghuni.

Ujarnya, tempoh tanggungan kecacatan (Defect Liability Period) selama dua tahun ditetapkan bagi memastikan sebarang kecacatan atau kekurangan sepanjang tempoh berkenaan diperbaiki oleh kontraktor.

“Dalam masa dua tahun itu, kontraktor masih bertanggungjawab untuk memperbaiki mana-mana kecacatan yang dikenal pasti dalam penyiapan projek,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa sedikit lanjutan masa (EOT) bagi projek itu bukan berpunca daripada kelemahan kontraktor, sebaliknya disebabkan pertambahan skop kerja.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kontraktor perlu bertanggungjawab terhadap kelewatan projek yang berpunca daripada kelemahan pengurusan, kewangan serta kekurangan tenaga kerja di tapak pembinaan.

“Where they are responsible, they must be responsible,” tegasnya.

Katanya, kementerian juga sedang memperkemas perancangan dan mengenal pasti kekangan pelaksanaan projek, termasuk aspek kapasiti teknikal serta penyelarasan berkaitan tanah dan utiliti bagi memastikan projek pembangunan dapat disiapkan mengikut jadual. – UKAS

FOTO: JAPEN