KUCHING: Sarawak terus memperkukuh usaha membangunkan persekitaran bandar yang lebih selamat, inklusif dan mesra kanak-kanak menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif yang berpandukan piawaian antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pembangunan sesebuah bandar bukan hanya perlu memberi tumpuan kepada kemajuan fizikal, malah perlu mengambil kira aspek kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Antara usaha yang dilaksanakan ialah kerjasama dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menerusi inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak atau Child Friendly Cities Initiative (CFCI).
“Terdapat 12 inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak di peringkat negara, dengan tujuh daripadanya dilaksanakan di Sarawak,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah MPHLG 2026 di Hotel Pullman di sini, hari ini.
Menurutnya, penyertaan tersebut mencerminkan komitmen Sarawak untuk memastikan pembangunan bandar turut mengambil kira keperluan kanak-kanak, selain menyediakan persekitaran yang lebih kondusif untuk generasi akan datang.
Jelasnya lagi, Sarawak mahu memastikan pelaksanaan inisiatif berkenaan memenuhi standard antarabangsa dan bukan sekadar menggunakan gelaran bandar bertaraf dunia tanpa usaha serta pengiktirafan yang sewajarnya.
Selain pembangunan bandar mesra kanak-kanak, beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan tahap keselamatan awam menerusi penggunaan peralatan bantuan kecemasan seperti Defibrilator Luaran Automatik (AED). – IQHWAN HAMDAN/ JIWA BAKTI
