KUCHING: Sebanyak 99 kontinjen termasuk Sabah akan menyertai perarakan kebudayaan “Niti Daun” sempena sambutan Gawai Dayak peringkat Sarawak 2026 pada 20 Jun ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, selain “Niti Daun”, sambutan tahun ini padat dengan pelbagai aktiviti termasuk majlis makan malam pada Ahad.
“Perarakan akan berlangsung di sepanjang laluan ikonik dari Jalan Tun Jugah ke Square Tower, Tebingan Kuching.
“Acara akan bermula seawal 1.15 petang dengan upacara Miring sebagai simbol penghormatan terhadap tradisi dan keaslian budaya Dayak bakal menampilkan penyertaan pelbagai persatuan Dayak serta rakan budaya dari Sabah dan Borneo,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak peringkat Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka menghadiri program tersebut yang turut mensasarkan kehadiran lebih 3,000 pengunjung.
Douglas Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Gawai Dayak Sarawak memaklumkan bagi acara kemuncak , majlis makan malam akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Yang di- Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Perdana Menteri Dato Sri Anwar Ibrahim serta Premier Sarawak akan hadir sebagai tetamu utama.
Majlis turut menampilkan persembahan kebudayaan dan teater muzikal bertemakan “Ruai to the World”.
Tema “Segulai Sejalai” turut mencerminkan perpaduan dan keharmonian rakyat Sarawak, sambil mengajak orang ramai hadir memeriahkan sambutan tersebut.
