Sarawak, Brunei setuju bergilir hoskan perbincangan sektor pengangkutan

KUCHING: Sarawak dan Brunei bersetuju mengadakan perbincangan dua hala dalam sektor pengangkutan setiap tahun.

Kedua-dua pihak juga bersetuju perbincangan tersebut akan dihoskan secara bergilir-gilir di antara Sarawak dan Brunei.

Ini diputuskan pada mesyuarat dua hala peringkat tinggi sempena lawatan rasmi Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin dan delegasinya ke Brunei pada 25 hingga 26 Ogos lalu.

Kemuncak lawatan itu ialah kunjungan hormat ke atas Menteri Pengangkutan dan Maklumat (MTIC) Brunei, Pengiran Dato Seri Setia Shamhary Pengiran Dato Paduka Mustapha, sebelum mesyuarat dua hala dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap MTIC, Ir. Mohammad Nazri Mohammad Yusof, dan Dato Sri Lee Kim Shin.

Antara isu utama dibincangkan ialah penambahbaikan pos sempadan ICQS, di Sg. Tujoh Miri, Limbang dan Lawas, pendigitalan permohonan permit, penyelarasan peraturan kenderaan, penyelarasan proses rentas sempadan, lanjutan waktu operasi ICQS, serta prosedur pengangkutan rentas sempadan semasa kecemasan, termasuk pendaratan penerbangan kecemasan.

Lee Kim Shin berkata, kerjasama lebih erat dalam penerbangan, maritim, pembangunan pelabuhan dan pelancongan akan membuka peluang baharu kepada ekonomi kedua pihak.

“Bagi kebanyakan rakyat kita, menyeberangi sempadan adalah sebahagian daripada kehidupan seharian – sama ada untuk kerja, pendidikan, melawat keluarga dan rakan-rakan atau pelancongan,” katanya.

Oleh itu, katanya adalah penting kedua-dua pihak terus meningkatkan kesalinghubungan, meningkatkan kecekapan di pos sempadan, dan mengembangkan kerjasama dalam pengangkutan, logistik dan penerbangan serta percaya kedua-dua pihak boleh mencapai kecekapan sempadan setanding dengan Johor Bahru-Singapura.