KUCHING: Pembukaan Muzium Warisan Perindustrian Limbungan Kapal Brooke menandakan satu lagi pencapaian penting Sarawak dalam usaha memelihara warisan industri sambil memperkukuhkan sektor pelancongan negeri.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penubuhan muzium itu merupakan hasil komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memulihara khazanah sejarah sambil merangsang pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata, transformasi Brooke Dockyard yang dilaksanakan secara berfasa dari tahun 2020 hingga 2025 membabitkan kos sekitar RM46.7 juta mencerminkan iltizam tinggi dalam mengekalkan warisan industri Sarawak.
“Brooke Dockyard yang merupakan limbungan kapal tertua di Malaysia kini berwajah baharu sebagai sebuah arkib hidup yang mempamerkan sejarah maritim serta kesan Revolusi Perindustrian di negeri ini,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian muzium tersebut di sini, malam ini.
Perasmian muzium berkenaan dilakukan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, muzium berkenaan menampilkan pelbagai koleksi jentera berat, peralatan industri serta struktur kejuruteraan unik termasuk dry dock, selain mempamerkan replika kapal His Highness Yacht (HHY) Zahora yang menjadi simbol era pentadbiran Brooke.
Mengulas lanjut, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu memberitahu, muzium masa kini bukan sekadar tempat penyimpanan artifak, sebaliknya berfungsi sebagai pemacu ekonomi dan pusat ilmu yang dinamik.
Katanya, kejayaan Borneo Cultures Museum (BCM) menjadi bukti apabila mencatatkan lebih 1.59 juta pelawat sejak dibuka pada Mac 2022, termasuk lebih 54,000 pengunjung bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.
“Ini menunjukkan bahawa naratif warisan Sarawak mempunyai daya tarikan yang tinggi di peringkat antarabangsa dengan pelawat dari 163 negara,” katanya.
Tambahnya, Sarawak kini mempunyai 19 muzium dan galeri aktif di seluruh negeri yang berperanan sebagai pemangkin sosioekonomi komuniti setempat.
“Pelbagai kolaborasi strategik dengan institusi antarabangsa seperti National Geographic dan British Museum turut memperkukuhkan kedudukan Sarawak dalam bidang penyelidikan dan pemuliharaan warisan.
“Selain itu, muzium juga memainkan peranan penting dalam pendidikan melalui pelaksanaan program interaktif seperti Program Bermalam di Muzium serta inisiatif kesedaran warisan bersama komuniti setempat,” ujarnya.
Beliau optimis pembukaan Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum akan menambah nilai kepada sektor pelancongan negeri serta menyokong aspirasi di bawah Pelan Induk Pelancongan Sarawak Ketiga.
“Kita menyasarkan peningkatan jumlah pelancong daripada 4.6 juta kepada 12.7 juta menjelang 2035 dengan pulangan ekonomi dianggarkan mencecah RM50 bilion,” katanya.
Menurutnya, pendekatan pelancongan mampan dan bertanggungjawab akan terus diperkasa bagi memastikan pemeliharaan warisan serta pembangunan sosioekonomi berjalan seiring.
