GPS guna pendekatan baharu bangunkan Sarawak, realisasikan impian generasi akan datang

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan membangunkan negeri ini mengikut cara baharu untuk disesuaikan dengan generasi akan datang, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang juga Pengerusi GPS Sarawak berkata, sumber ekonomi Sarawak yang mantap akan membolehkan pucuk kepimpinan merancang program pembangunan untuk masa depan negeri ini dan rakyat.

Berucap merasmikan Konvensyen GPS 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini, Abang Johari menegaskan, ada negara yang kaya dengan sumber tetapi rakyatnya masih hidup miskin disebabkan pemimpinnya tidak ikhlas dalam memperjuangkan nasib rakyat menyebabkan rakyat sentiasa bertelagah.

Konvensyen sehari itu dihadiri lebih 5,000 peserta dari empat parti komponen – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) 2026 Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan-timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang juga Presiden SUPP, Presiden PRS, Dato Sri John Sikie Tayai dan Presiden PDP, Dato Sri Tiong Kng Sing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof hadir sama.

Abang Johari berkata, perkara ini tidak terjadi di Sarawak kerana pemimpin GPS ikhlas berkhidmat untuk rakyat.

Membangunkan ekonomi dan negeri mengikut cara baharu memerlukan data, tegas beliau.

Beliau menambah, untuk membangunkan data pula, Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga mahir.

“Atas sebab itu, GPS memperkenalkan inisiatif Pengajian Tinggi Percuma Sarawak (FTES) untuk anak-anak Sarawak meneruskan pendidikan ke institusi pengajian tinggi (IPT) menimba ilmu kemahiran,” katanya.

Tahun ini, tambahnya, Sarawak memperuntukkan RM250 juta untuk membolehkan lebih 5,000 pelajar yang layak melanjutkan pendidikan di pusat pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak.

GPS, kata Abang Johari berjuang dengan cara yang baik dan membangunkan Sarawak mengikut program yang sudah disusunkan.

Sambil mengucap terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi kebenaran untuk Kerajaan Sarawak membina loji rawatan air baharu dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan, beliau berkata, pemimpin GPS benar-benar bekerja, ikhlas dan berjuang demi kesejahteraan rakya.

Premier Sarawak menegaskan, kepercayaan itu penting dan menggesa rakyat supaya jangan biarkan Sarawak berkocak.

“Ada orang mahu melihat rakyat Sarawak supaya berpecah disebabkan cemburu melihat kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan GPS,” katanya.

Beliau menambah, kerja-kerja membina beberapa jambatan utama di negeri ini masih diteruskan sungguhpun berhadapan dengan isu konflik di Timur Tengah.