Program Sahabat PSSS YKN satukan pemimpin Komuniti

KUCHING: Penganjuran program Sahabat Pusat Sokongan Setempat Sosial (PSSS) Yayasan Kebajikan Negara (YKN) mampu menyatukan pemimpin komuniti di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, ia sekali gus memperkukuhkan peranan pemimpin akar umbi dalam menangani pelbagai isu sosial komuniti.

“Program ini bagi menggalakkan pemimpin menjadi sahabat kepada PSSS YKN.

“Sebenarnya banyak masalah atau cabaran dihadapi oleh masyarakat terutama dari segi tekanan mental yang kita tidak menyedari.

“Sebab itu, PSSS menawarkan perkihdmatan bagi mendengar segala masalah kita,” katanya semasa merasmikan program sahabat Pusat Sokongan Setempat Sosial ( PSSS) YKN di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Lebih 200 pemimpin masyarakat dari Parlimen Santubong menghadiri program tersebut dan turut disertai wakil agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakan strategik bagi memperluas jaringan kebajikan masyarakat di kawasan Parlimen Santubong.

Peserta didedahkan sesi perkongsian ilmu yang memberi penekanan kepada kesejahteraan komuniti dan kepimpinan masyarakat.

Program diwujudkan sebagai platform mendekatkan pemimpin masyarakat dengan PSSS sekali gus memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih cepat dan berkesan kepada golongan memerlukan.

Peserta turut mengikuti sesi bersama kaunselor berdaftar berkaitan kesejahteraan mental serta taklimat kesedaran jenayah siber oleh Polis Diraja Malaysia, yang disifatkan amat relevan dengan cabaran masyarakat masa kini.

Isu seperti tekanan mental, keganasan rumah tangga, penderaan, buli dan gangguan seksual tambah Nancy semakin kompleks dan memerlukan pendekatan kolaboratif melibatkan pelbagai agensi serta pemimpin komuniti.

Melalui PSSS, masyarakat boleh mendapatkan khidmat kaunseling profesional, intervensi sosial dan sokongan kebajikan secara menyeluruh bagi membantu individu serta keluarga keluar daripada krisis kehidupan.