KUCHING: Golongan muda dalam parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu diberi peluang dan menimba ilmu serta pengalaman daripada pemimpin lama.
Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu penting untuk meneruskan kesinambungan perjuangan parti demi kestabilan dan perpaduan rakyat dan negeri ini.
Oleh sebab itu, katanya setiap kali pilihan raya GPS perlu menampilkan muka-muka baharu untuk diketengahkan sebagai calon.
“Macam kita dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menampilkan lima hingga enam muka baharu setiap kali pilihan raya dalam usaha memperkukuhkan kesinambungan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen GPS 2026 di BCCK, di sini, hari ini.
Abang Johari yang juga Yang di-Pertua Parti PBB bagaimanapun berkata, tidak semua individu akan dipilih sebagai calon namun perkara itu tidak seharusnya menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli.
“Jangan merajuk jika tidak dipilih. Kita berkhidmat dengan ikhlas. Apa yang penting keikhlasan dan kesabaran dalam perjuangan.
“Penting buat mereka (orang muda) sabar dan mengamalkan semangat bekerjasama,” katanya.
Selain itu mengenai penilaian prestasi GPS, Abang Johari berkata beliau tidak menilai dirinya sendiri sebagai pemimpin GPS tetapi menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian itu.
Namun, menurutnya berdasarkan pengiktirafan luar seperti kehadiran duta asing serta pelaburan syarikat antarabangsa seperti Western Digital dan XFAB, ini menunjukkan keyakinan terhadap Sarawak.
“Kesimpulannya, biarlah rakyat yang menilai prestasi kita (GPS), kita tidak perlu memuji diri sendiri,” jelasnya.
Beliau juga menjelaskan konvensyen itu sebagai penilaian kendiri GPS berdasarkan hala tuju hingga 2037.
Katanya, kajian menunjukkan kemungkinan berlaku jurang antara negara maju dan kurang maju akibat automasi dan oleh itu, mereka perlu menyesuaikan diri dengan perubahan.
