23 penerima terima Anugerah Khas

LUNDU: Lebih 350 penduduk menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Zon Sampadi di Dewan Masyarakat Kampung Rambungan, di sini, semalam.

Majlis juga dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan yang turut menyempurnakan perasmian Dewan Masyarakat Kampung Rambungan.

Di samping itu Anugerah Khas turut disampaikan kepada seramai 23 individu terpilih sebagai penghargaan atas sumbangan mereka sebagai imam, Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Induk, Wanita dan Pemuda serta Mantan KK.

Juga diadakan doa selamat khas bagi Azizul di majlis itu yang dipimpin oleh Imam Saini Suhai sebagai memohon keberkatan sebelum beliau berangkat menunaikan ibadah haji tidak lama lagi.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Abang Abdul Aziz Datuk Abang Draup, Pegawai Daerah Lundu, Tuan Zulkarnain Ismail, Pemanca Jumahdi Sabian dan Penghulu Zon Sampadi, Sarkawi Nawi.