KOTA SAMARAHAN: Cadangan membina jalan baharu menghubungkan Jalan Kampung Meranek ke Jalan Residen di sini merupakan sebahagian daripada langkah mengurangkan kesesakan lalulintas di sini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, jalan sepanjang 1.5 kilometer (km) itu untuk meningkatkan jaringan perhubungan setempat.
Manakala, Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) Pakej Satu di sini dijangka siap menjelang penghujung tahun ini, katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Projek KUTS di Bilik Mesyuarat Jabatan Kerja Raya (JKR) Samarahan, semalam.
Beliau berkata, projek KUTS pakej satu itu akan menjadi pemangkin utama kepada transformasi sistem pengangkutan awan di kawasan berkenaan.
Sistem KUTS dijangka beroperasi dengan 38 unit Transit Aliran Autonomi (ART) secara keseluruhan serta 55 bas sokongan, sekali gus meningkatkan mobiliti rakyat di Samarahan, katanya.
Kerajaan komited memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan teliti dan berkesan agar sebarang cabaran dapat ditangani lebih awal demi keselesaan dan keselamatan rakyat, tegas beliau.
Rubiah berkata, mesyuarat tersebut juga bertujuan meneliti kemajuan semasa projek serta menyelaras pelaksanaan secara menyeluruh melibatkan pelbagai agensi teknikal dan pelaksana.
Pelbagai isu dan cabaran sepanjang pelaksanaan projek itu, tambahnya, telah dibincangkan secara terperinci termasuk aspek pengurusan trafik, pematuhan dasar keselamatan serta perancangan operasi sistem ART yang akan beroperasi pada selang masa setiap 10 minit.
Isu banjir yang sebelum ini menjejaskan kawasan Kampung Plaie dan Sungai Batu, katanya, turut diberi perhatian apabila beberapa penyelesaian telah dikenal pasti termasuk kerja menaik taraf dan pembesaran sistem perparitan bagi memastikan aliran air lebih terkawal dan sistematik.
Selain itu, kata Rubiah, perancangan jangka panjang turut dibincangkan bagi menghadapi peningkatan jumlah kenderaan di kawasan sekitar, khususnya di bulatan Entingan.
