KUCHING: Lebih 100 peserta daripada pelbagai kaum dan peringkat umur memeriahkan Merdeka Fun Walk serta Larian Muda Hashim II di Satok sempena sambutan Hari Malaysia, di sini, hari ini.
Acara santai itu melibatkan penyertaan wanita, lelaki, kanak-kanak dan golongan veteran, sekali gus mencerminkan keharmonian masyarakat majmuk di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki, berkata penganjuran program berasaskan riadah komuniti penting untuk menghayati nilai perpaduan dan pengorbanan generasi terdahulu.
“Apabila kita berjalan sambil mengibarkan bendera, ia tanda syukur atas keamanan negara dan mengingatkan kita kepada perjuangan masa lalu,” katanya selepas pelepasan peserta Merdeka Fun Walk di Dewan Pertubuhan Anak Seni Bandarsah, di sin.
Program jalan santai sejauh tiga kilometer (km) itu turut disertai senamrobik, manakala Larian Muda Hashim II di Rumah Warisan Tan Sri Datuk Amar Abang Haji Ahmad Urai menawarkan kategori lima kilometer lelaki dan tiga kilometer wanita.
Ibrahim menegaskan penyertaan pelbagai kaum termasuk masyarakat Cina dalam program tersebut membuktikan perpaduan di Satok terus utuh dan wajar dijadikan contoh kepada seluruh rakyat Sarawak.
