Hasidah sarankan lebih banyak program kesihatan komuniti dianjur

KUCHING: Program Fun Zumba PERKIM 2025 menarik kira-kira 400 peserta yang hadir bukan sahaja untuk bersenam, malah menjadikan aktiviti riadah itu sebagai platform memperkukuh gaya hidup sihat bersama keluarga dan komuniti.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menyifatkan penyertaan ramai membuktikan masyarakat kini semakin peka terhadap kepentingan menjaga kesihatan melalui aktiviti riadah bersama.

“Inisiatif seperti ini bukan sahaja menyemai amalan hidup sihat, malah membantu mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya ketika merasmikan Program Fun Zumba PERKIM 2025 di sini, hari ini.

Tambah beliau, tanpa mengira asal usul, kepercayaan atau ideologi, semua rakyat Sarawak mesti berdiri teguh bersama, bekerjasama dan menyokong segala usaha yang membawa kebaikan kepada negeri.

“Pada akhirnya, kita semua di sini kerana Sarawak, dan kita harus bersatu agar negeri ini dapat melangkah ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030,” ujarnya.

Beliau turut mengumumkan sumbangan RM5,000 kepada PERKIM untuk meneruskan usaha kebajikan, manakala ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap, menyumbang RM3,000 sebagai sokongan agar lebih banyak program kesihatan komuniti dapat dianjurkan pada masa depan.