KUCHING: Sebuah muzium baharu yang memfokus sejarah pemerintahan dan pentadbiran negeri bakal dibangun di Sarawak.
Perkara itu diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sambil menambah, muzium berkenaan akan memaparkan perkembangan sejarah.
Katanya, bermula daripada era Kesultanan Brunei, pemerintahan Rajah Brooke, penjajahan British, kemerdekaan 1963 hingga selepas penyertaan Sarawak dalam Malaysia.
“Sebuah bangunan akan diubah suai untuk dijadikan muzium tersebut, namun proses penyelidikan akademik perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan fakta yang dipamerkan sahih dan berautoriti.
“Usaha ini dijangka mengambil masa sekitar lima tahun kerana melibatkan pelbagai kajian, termasuk kerjasama dengan pihak luar seperti Brunei. Bahan pameran mestilah berasaskan fakta, bukan sekadar cerita,” katanya selepas menyempurnakan penutupan Program Bermalam di Muzium Budaya Borneo, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, muzium baharu itu akan melengkapi rangkaian muzium lain di Sarawak termasuk Muzium Sri Aman yang menyorot perjuangan menentang komunis dan Muzium Fort Kapit yang menampilkan perdamaian masyarakat Iban serta Orang Ulu.
Selain itu, muzium tersebut turut dihubungkan dengan Arkib Negeri Sarawak yang menyimpan pelbagai rekod sejarah meliputi aspek ekonomi, budaya dan pembangunan negeri.
“Peranan muzium lebih daripada sekadar ruang pameran. Ia wadah pendidikan yang membantu generasi muda mengenali sejarah, membina jati diri dan memahami akar budaya untuk menghadapi cabaran masa depan,” tegasnya.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang serta dif-dif kenamaan lain.
