KUCHING: Dua muzium baharu di Sarawak yang diperkenalkan pada tahun lalu dan tahun ini mencatat sambutan menggalakkan apabila merekodkan lebih 53,000 pengunjung sehingga 31 Mei 2026.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Muzium Industri Limbungan Brooke yang dibuka pada 20 April 2026 menerima 37,126 pengunjung, sekali gus menunjukkan penerimaan positif orang ramai terhadap produk pelancongan berasaskan sejarah tersebut.
“Pencapaian itu sekali gus menolak tanggapan awal bahawa muzium berkenaan tidak akan menjadi tarikan utama, sebaliknya membuktikan minat pengunjung terhadap pameran yang ditampilkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Warisan Sarawak Bil. 1/2026 di sini, hari ini.
Sementara itu kata beliau lagi, Taman Arkeologi Santubong dan Pusat Wallace yang dirasmikan m Oktober 2025 turut mencatat 16,758 pengunjung dalam tempoh sama, dipacu oleh kedudukannya yang berhampiran kawasan pelancongan Damai.
Dalam perkembangan lain katanya, Kerajaan Sarawak bersetuju mewartakan tujuh lagi tapak dan struktur warisan di negeri ini sebagai usaha memperkukuh pemeliharaan sejarah, melibatkan lokasi seperti Kuarters Jururawat Lama Kuching, Bangunan Jepun Kuching, Rumah Api Tanjung Lobang Miri, Empangan Salome Miri, Kubu Ranee Saratok serta Tapak dan Depoh Landasan Kereta Api Lama Sarawak.
Pada masa sama, Jabatan Muzium Sarawak terus memperkaya koleksi warisan negeri apabila merekodkan 88 objek sumbangan pada 2025 dan 39 lagi setakat 2026, melibatkan pelbagai artifak bersejarah seperti tempayan keluarga, manuskrip lama, dokumen era 1930-an serta pakaian seragam bomba.
