KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg percaya Sarawak akan menjadi salah satu daripada penggerak utama dalam era perindustrian baharu dengan Bintulu sebagai modelnya.
Beliau berkata, kejayaan mewujudkan beberapa industri berintensifkan tenaga di Bintulu boleh dijadikan model membantu membangunkan industri berdaya saing dan industri karbon rendah di Asia.
Bintulu akan menjadi tapak pertemuan kekuatan industri Sarawak bagi memenuhi keperluan masa depannmya, katanya semasa melancarkan Kluster Peralihan Perindustrian Bintulu (TIC) ‘Industrial Cluster in the Next Energy Era’ di sini hari ini.
Bersama dengan Samalaju, beliau berkata, Bintulu menjadi salah satu koridor perindustrian dan tenaga paling strategik di Asia Tenggara,
Premier Sarawak menegaskan, Bintulu yang menyertai rangkaian TIC akan menghubungkan kluster perindustrian negeri ini ke platform 39 kluster di 20 buah negara yang berusaha membina industri bersih dan daya saing pada masa hadapan.
Secara kolektif, beliau berkata, kluster itu akan menghasilkan kira-kira USD808 bilion dalam pengeluaran ekonomi, 6.6 juta pekerjaan dan menangani pelepasan 870 juta tan karbon.
Sejak berdekad yang lalu, beliau berkata, Bintulu adalah pusat perindustiran Sarawak dan menjadi kompleks LNG terbesar di dunia dan laluan menghubungkan sumber, industri dan eksport Sarawak ke pasaran global.
Selepas itu, tambahnya, kemajuan di Bintulu semakin berkembang bukan setakat minyak dan gas.
Melalui Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), beliau berkata, kerajaan melabur dalam infrstruktur, keupayaan tenaga dan ekosistem industri yang diperlukan untuk menarik industri baharu dan mempelbagaikan ekonomi.
Beliau berkata, pembangunan di Samalaju adalah sebahagian daripada strategi berkenaan dan hari ini, Samalaju dijadikan pusat industri berintensifkan tenaga termasuk alumium, ferroalloys dan kemajuan pengilangan.
Melalui SCORE sahaja, katanya, Sarawak berjaya menarik pelaburan berjumlah USD20 bilion dan mewujud salah satu koridor perindustrian paling signifikan di wilayah ini.
Menurut beliau, fasa pertumbuhan industri seterusnya bukan hanya bergantung kepada satu kemudahan sahaja tetapi dibentuk oleh ekosistem bersepadu yang menghubungkan tenaga, industri, teknologi, infrastruktur dan bakat.
Pelancaran TIC Bintulu itu, tegas beliau adalah menggabungkan industri, tadbir urus, penyedia kewangan dan rakan teknologi di bawah kerangka bersama untuk mentranformasi perindustrian.
Beliau berkata, hanya sedikit wilayah di Asia Tenggara yang memiliki kombinasi kedudukan strategik, sumber tenaga, skala perindustrian dan potensi pertumbuhan.
