Strategi PCDS 2030 bantu Sarawak capai sasaran pelepasan karbon sifar 2050

KABONG: Sarawak terus mengorak langkah ke arah pembangunan mampan dengan hala tuju jelas melalui Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

Langkah itu penting untuk kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menegaskan, negeri ini turut komited mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dengan memanfaatkan tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen hijau, perdagangan karbon dan ekonomi kitaran.

Menurutnya, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan Sarawak berjalan seiring dengan pemeliharaan alam, berpandukan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREO).

Antara langkah utama, katanya ialah pelaksanaan Penilaian Impak terhadap Alam Sekitar (EIA) untuk aktiviti seperti perladangan, perlombongan, empangan, perhutanan dan projek perumahan serta perindustrian bagi mengelak risiko pencemaran, degradasi habitat, dan kerosakan ekosistem.

“Kerajaan boleh menyediakan dasar dan kawalan, tetapi kejayaan sebenar bergantung kepada kesedaran dan amalan komuniti. Menjaga sungai, tidak membakar sampah, mengamalkan pertanian mesra alam dan memelihara flora fauna adalah tanggungjawab bersama,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti di Rumah Bujang Empayang Baruh, Kabong, semalam.