KABONG: Sebanyak 21,800 unit tukun Reef Ball dilabuhkan di perairan Sarawak melibatkan dua fasa projek.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek Sarawak Reef Ball Fasa 1 yang tamat 2021 melabuhkan 16,800 unit tukun sepanjang 746 kilometer (km) dari Tanjung Datu hingga Lawas.
Manakala, Fasa 2 pula, sebanyak 5 000 unit lagi tukun dilabuhkan dalam 90 kluster.
Daripada jumlah itu katanya, sejumlah 1,300 unit dilabuhkan di kawasan perairan Kabong-Gerigat, dengan 1,000 unit bagi Fasa 1 dan 300 unit bagi Fasa 2, meliputi keseluruhan 54 kluster.
Jelasnya, Projek Sarawak Reef Ball telah mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai World’s Longest Reef Ball Barrier Reef oleh The Reef Ball Foundation, Amerika Syarikat.
“Projek Fasa 1 itu memfokuskan kepada perlindungan sumber marin dari aktiviti kapal tunda yang beroperasi di kawasan nelayan tradisional, meningkatkan sumber marin dan mengurangkan kesan gangguan terhadap kawasan pembiakan dan laluan migrasi penyu.
“Projek Fasa 2 pula bertujuan mempromosikan eko-pelancongan marin, menyokong komuniti setempat serta menyumbang kepada perlindungan dan peningkatan biodiversiti marin, serta kelangsungan hidup yang lestari.
“Pendekatan bersepadu ini memperkukuhkan kedua-dua aspek perlindungan alam sekitar dan peningkatan sosio-ekonomi, selaras dengan matlamat jangka panjang Sarawak untuk kelestarian ekonomi biru,” katanya semasa melancarkan penurunan tukun tiruan jenis Reef Ball di kawasan perairan Kabong dan Gerigat di bawah Projek Sarawak Reef Ball di sini hari ini.
Tegas Awang Tengah, Kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) sedang memantau dan menjalankan kajian bagi menilai impak projek tersebut terhadap biodiversiti marin dan sosio-ekonomi komuniti tempatan.
Katanya, kajian impak bagi Projek Reef Ball Fasa 1 sedang giat dijalan dan dijangka siap pada penghujung 2025.
Manakala, kajian bagi Fasa 2 pula dijangka disiapkan pada akhir tahun 2027.
Terdahulu, Awang Tengah mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari merasmikan ‘Kabong International Beach Trail Marathon’ (KIBTM) 2025 yang julung kali dianjurkan di sini.
